Friday, January 15, 2010

Kisah Pembunuh

Salam..sempena hari baik ni, aku nk share ngn korang satu cerita yang aku dengar semalam.. (aku memang suke dgr crite..hehe..) harap korang enjoy,k?

Dahulu sebelum diutusnya nabi Muhahammad saw ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang yang jiwanya terpelihara. Bayangkan seandainya semua penduduk langit dan bumi bersatu-padu untuk membunuh seorang lelaki muslim, Allah swt akan mencampakkan mereka semuanya dengan muka di bawah ke dalam neraka. Inikan pula seorang yang telah membunuh 99 orang.

Lelaki ini telah melumuri dirinya dengan darah banyak orang dan membinasakan banyak jiwa yang diharamkan oleh Allah swt membunuh serta mencabut nyawa mereka. Akhirnya, dia menyedari kesalahannya terhadap Allah swt.

Dia berfikir tentang hari pertemuannya dengan Allah swt nanti. Dia akan dipertanggungjawabkan ke atas semua dosa yang telah dilakukannya. Dia yakin bahawa tiada siapa yang boleh mengampunkan dosa, menghukum, menghisab, dan membenci seorang hamba kerana dosa kecuali hanya Allah swt. Dia terfikir untuk kembali dan bertaubat kepadaNya agar dia dibebaskan dari neraka.

Maka keluarlah dia dengan pakaian yang berlumuran darah lalu bertanya kepada semua orang: "Apakah aku masih boleh diampuni?”

Orang ramai menjawab: "Kami akan bawakan kamu kepada seorang rahib, sebaik sahaja kamu pergi ke sana, tanyakanlah kepada beliau apakah kamu masih boleh diampuni."

Maka ia bertemu dengan seorang rahib dan diapun bertanya: "Masih terbukakah pintu taubat untuk ku hai rahib?"

Kemudian Rahib menjawab : "Dengan apa yang telah kau buat maka sudah tertutup pintu taubat untukmu."

Lalu dibunuhnya rahib tersebut hingga genaplah 100 orang yang telah dibunuhnya.

Kemudian ia mencari sesorang yang tepat untuk ia bertanya, bertemulah ia dengan seorang ulama dan dia pun bertanya: "Wahai saudaraku apakah masih terbuka pintu taubat untuk orang seperti aku yang telah membunuh 100 orang?"

Kemudian Ulama menjawab: "Pintu taubat masih terbuka, saudaraku.."

"Sesungguhnya engkau tinggal di kampung yang jahat. sebahagian kampung dan kota adakalanya memberikan pengaruh untuk berbuat kemukaran dan kejahatan bagi para penghuninya. Barang siapa yang lemah imannya di tempat seperti ini, maka ia akan mudah berbuat kejahatan dan sehingga akhirnya ia terjerumus ke dalam lembah kegelapan dan jurang kesesatan. Akan tetapi, apabila sesebuah masyarakat yang di dalamnya ditegakkan amar ma'ruf nahi mungkar, maka akan tertutuplah semua pintu kejahatan bagi penghuninya."

"Oleh kerana itu, keluarlah kamu dari kampung yang jahat itu dan menuju ke kampung yang baik. Gantikanlah tempat tinggalmu yang lalu dengan kampung yang baik dan bergaul-lah kamu dengan para pemuda soleh yang akan menolong dan membantumu untuk bertaubat."

Si pembunuh itu pun pergi dengan langkah yang cepat dan hati yang gembira dan pengharapan yang tggi untuk bertaubat. Ketika ia berada di pertengahan jalan, dia jatuh sakit dan sakaratul maut datang menjemputnya.Maka turunlah malaikat rahmat dan malaikat azab datang untuk mengambil dan menerima nyawanya dari malaikat maut. Namun begitu, mereka berselisihan dalam merebutkan roh tadi.

Malaikat rahmat berkata: "Sesungguhnya dia datang untuk bertaubat dan menghadap Allah swt dan menuju kepada kehidupan yang taat, kembali kepada Allah swt dan dilahirkan kembali melalui taubatnya itu. Oleh kerana itu, dia adalah bahagian kami."

Malaikat azab berkata: "Sesungguhnya dia belum pernah melakukan suatu kebaikan pun. Dia tidak pernah sujud, Tidak pernah solat, tidak pernah zakat, dan tidak pernah bersedekah, maka atas alasan apakah dia berhak mendapatkan rahmat? Bahkan dia termasuk bahagian kami."

Allah swt pun mengirimkan malaikat lain dari langit untuk meleraikan persengketaan mereka.

Malaikat tersebut berkata kepada mereka: "Untuk menyalesaikan sengketa ini kalian hendaklah sama-sama mengukur jarak antara lelaki ini dan tanah yang ia tinggalkan, iaitu kampung yang jahat, dan jarak antara dia dan kampung yang ditujunya, iaitu kampung yang baik."

Ketika mereka sedang sama-sama mengukur, Allah swt memerintahkan kepada kampung yang jahat untuk menjauh dan kampung yang baik untuk mendekat. Akhirnya, mereka menjumpai mayat lelaki jahat ini lebih dekat kepada penduduk kampung yang baik dan mereka memutuskan bahawa lelaki ini adalah bahagian untuk malaikat rahmat. Malaikat rahmat pun mengambilnya untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Ps :
  • Kisah ini diambil dari hadis nabi Muhammad saw yang diriwayatkan oleh Imam Bukhary dan Imam Muslim dari Abi Said bin Malik bin Sinan Alkhudriyyi ra.
  • Pintu taubat tak akan pernah tertutup, walaubagaimana besarnya dosa seseorang. Tangan kekuasaan-Nya sentiasa terbuka pada malam hari untuk menerima taubat orang-orang yang berdosa pada siang harinya, dan sentiasa terbuka pada siang hari untuk menerima taubat orang-orang yang berdosa pada malam harinya sehingga matahari tenggelam di sebelah barat.
Wallahua'lam..

No comments: